Pengarah Eksekutif Safe Kids Malaysia Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. K. Kulanthayan berkata, inisiatif itu akan memberikan tumpuan kepada ke­selamatan, kesihatan dan kese­jahteraan kanak-kanak khususnya­ semasa perjalanan ke sekolah.

“Program ini membawa konsep Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) iaitu membawa beberapa agensi bergabung untuk memastikan keselamatan perjalanan kanak-kanak pergi dan balik dari rumah ke sekolah.

“Program Child Health Initiative di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Cheroh ini adalah yang pertama dilancarkan di Malaysia dengan kerjasama Global Alliance of NGOs on Road Safety yang berpusat di Geneva, Switzerland,” katanya dalam program Kempen Keselamatan Pejalan Kaki Kanak-kanak bersama murid SJKT Ladang Cheroh di sini, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Raub, Jahidin Abdul Rahman yang me­rasmikan program tersebut.

Menurut Kulanthayan, inisiatif baharu itu merangkumi pelbagai kempen aspek keselamatan jalan raya, keselamatan alam sekitar dan keselamatan jenayah.

Beliau memberitahu, melalui­ ini­siatif ini bukan sahaja akan memberi kesan kepada kanak-kanak tetapi juga ibu bapa dan guru yang berulang-alik ke sekolah.

“Antaranya salah satu cara untuk menukar amalan orang dewasa yang tidak gemar memakai topi keledar ialah kita gunakan kanak-kanak sebagai ejen kerana apabila anak-anak pakai topi ke­ledar mungkin akan ada kesedaran kepada orang yang lebih dewasa,” ujarnya.