Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, industri berkenaan adalah satu bentuk penginapan alternatif yang ditawarkan kepada pelancong sebagai ikon pelancongan negara.

Pada masa ini, katanya, terdapat sebanyak 4,005 peng­usaha inap desa yang menawarkan 5,620 bilik di seluruh negara dengan menyediakan program pengalaman Homestay Malaysia kepada pelancong me­ngalami kehidupan serta budaya komuniti setempat.

“Kewujudan inap desa di kampung dapat memberi pulangan pendapatan dan melahirkan lebih 10,000 pekerjaan tetap kepada penduduk di sektor pelancongan dengan mengeksploitasi keistimewaan alam semula jadi dan budaya bangsa.

“Selain melahirkan usahawan pelancongan dalam kala­ngan masyarakat desa, ia juga dapat mewujudkan produk pelancongan hospitaliti desa dengan harga kompetitif dan bertaraf antarabangsa,” kata­nya dalam Majlis Anugerah Homestay Cemerlang di Kampungstay Desa Murni di sini semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengarah Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia ne­geri, Datuk Idros Yahya.

Yang turut hadir, Pengerusi Homestay Malaysia, Datuk Sahariman Hamdan serta wakil Community Homestay Global Network, Dr. Maty Dhang Tecson.

Menurutnya, industri inap desa di negara ini menjadi peneraju dalam bidang ASEAN Homestay Standard dan mendapat anugerah tertinggi daripada United Nation Tou­rism World Organization iaitu anugerah ULYSES dalam pelancongan luar bandar.