Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lepar, Datuk Mohd. Shohaimi Jusoh berkata, sebanyak 23 penduduk yang ditawarkan Rumah Mesra Rakyat (RMR) SPNB itu adalah pemilik lot tapak rumah di Rancangan Tanah Kelompok (RTK) Seri Fajar, Gambang fasa ketiga.

Bakinya, kata beliau, adalah empat penduduk di Paya Bungor dan sebuah keluarga dari Kampung Seri Mahkota yang kehilangan rumah akibat kebakaran tahun lalu.

“Dengan menandatangani perjanjian ini, pemohon sudah boleh membersihkan tapak rumah masing-masing sementara menunggu SPNB melantik kontraktor dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani dokumen perjanjian tersebut di Pejabat DUN Lepar di Gambang, di sini.

Yang turut hadir Pegawai Perhubungan Negeri SPNB Pahang, Ahmad Islanizam A. Halim.

Menurut Mohd. Shohaimi, majlis menandatangani perjanjian berkenaan membuktikan bahawa pihaknya tidak bercakap kosong apabila berjanji akan berusaha membantu penduduk khususnya di (RTK) Seri Fajar untuk mendapatkan rumah.

Katanya, kerajaan negeri meluluskan 66 lot tanah di RTK Seri Fajar fasa ketiga dan daripada jumlah berkenaan, pihaknya membantu mempercepatkan proses penduduk terlibat untuk membina rumah.

Sementara itu, seorang pemohon yang dipilih membina RMR SPNB, Mohd. Syamihan Malik, 40, bersyukur dan gembira kerana impiannya untuk memiliki rumah sendiri akhirnya menjadi kenya­taan.

Sebelum ini, katanya yang ber­kerja di tapak kuari di Paching, di sini, dia bersama isteri dan empat anaknnya terpaksa tinggal menyewa selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran hujung tahun lepas.

“Pejabat DUN Lepar mencadang­kan kepada keluarga saya supaya memohon RMR SPNB. Sukar untuk menceritakan kegembiraan saya apabila permohonan diluluskan,” katanya.