Jenis ikan disalai dan pekasam seperti patin serta tilapia sangat laris yang lazimnya dicampur dengan asam tempoyak dalam kalangan penggemar masakan tradisional Pahang sebagai juadah yang enak dihidangkan sewaktu makan tengah hari.

Peniaga ikan salai Kampung Jerantut Feri di sini, Ashraf Ahmad, 45, berkata, rutin kehidupannya sebagai suri rumah tangga sebelum ini berubah setelah berniaga ikan air tawar untuk menambah pendapatan keluarga ketika berdepan kesusahan hidup akibat kenaikan harga barang yang tidak menentu.

“Sudah lima tahun saya dan suami, Azman Zainuddin berniaga ikan ini di gerai berdekatan jalan raya Jerantut ke Maran yang menjadi tumpuan ramai termasuk pelancong ke Taman Negara Kuala Tahan.

“Saya mula menyalai ikan pada pukul 9 pagi dan dalam tempoh dua jam, baharulah ikan patin dan tilapia siap disalai sebelum boleh dijual kepada pelanggan,” katanya ketika ditemui di kampung berkenaan semalam.

Menurutnya, selain ikan salai, dia juga menjual ikan patin pekasam sejukbeku dan ikan hidup spesies sama yang digemari oleh pelanggan untuk masakan campuran asam tempoyak, dibakar atau dibuat pais.

Katanya, antara 150 hingga 200 ekor ikan salai patin dan tilapia dijual sehari pada harga antara RM10 hingga RM15 mengikut saiz dan gred manakala ikan pekasam sejukbeku berharga RM6 sebungkus.