Bagaimanapun, kesulitan itu sedikit terubat apabila Majlis Daerah Lipis (MDL) menyampaikan wang insurans bernilai RM10,500 hasil caruman arwah anaknya, Amirul Nizam Mohd. Ali yang me­ninggal dunia pada usia 43 tahun.

Amirul Nizam merupakan seorang kakitangan Pembantu Penilaian W19, di pejabat pihak berkuasa tempatan (PBT) di sini.

Aminah terkejut dan tidak menyangka apabila diziarahi oleh Setiausaha MDL, Mohd. Pauzi Abu Hussaini di kediamannya di Taman Cheneras Indah di sini baru-baru ini.

Selain wang insurans, Aminah juga menerima sumbangan cek bayaran faedah cuti rehat dan sebahagian gaji bulanan anak­nya bernilai RM7,074.34 ketika arwah berkhidmat di MDL.

Menurut Mohd. Pauzi, Amirul Nizam mula berkhidmat di MDL pada 3 Mei 2007 dan disahkan mengalami penyakit paru-paru berair sejak awal tahun ini.

“Kita menyumbangkan wang insurans, faedah cuti rehat dan baki gaji bulanan arwah Amirul Nizam dan diharap ia sekurang-kurangnya dapat meringankan beban keluarga arwah khusus keselesaan emaknya yang berstatus ibu tunggal dan tidak lagi mampu bekerja.

“Inilah tanggungjawab sosial MDL dalam menangani kebajikan pegawai dan kakitangan bukan sahaja kes kematian malah juga menghulurkan bantuan kecemasan lain seiring dengan ajaran Islam dan nilai kemanusiaan,” katanya selepas menyam­paikan sumbangan itu di Taman Che­neras Indah di sini baru-baru ini.

Yang hadir sama, Penolong Setiausaha MDL, Zuriadah Abd Razak.

Mohd. Pauzi yang juga Pre­siden Kelab Kebajikan dan Sukan (Kesukma) MDL berkata, arwah merupakan seorang kakitangan yang aktif dalam sukan petanque dan pernah menjadi pegawai teknikal di Sukan Malaysia (Sukma) Ke-15 di Kuantan pada 2012.

“Arwah Amirul Nizam juga pernah mewakili PBT negeri ini dalam acara petanque sempena Kejohanan Majlis Kebajikan Sukan Anggota Kerajaan Malaysia (Maksak) pada 2013 dan 2014.

“Kita merasai pemergian Ami­rul Nizam, seorang kakitangan yang begitu dedikasi semasa bertugas dan merupakan rakan sekerja cukup peramah serta aktif dalam kerja kemasyarakatan,” katanya.