Akibat dilanggar sebuah motosikal peronda polis ketika berjalan kaki menyebabkan anak keenam daripada sembilan adik beradik itu mengalami kecede­raan parah di bahagian kepala dan patah bahagian rahang sehingga menyaksikan sebahagian tempurung kepalanya terpaksa dibuang.

Salmiah berkata, akibat kejadian itu anaknya yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Triang tidak sedarkan diri selama 17 hari dan dirawat selama sebulan di hospital termasuklah menjalani tiga kali pembedahan pada bahagian kepala.

“Kini dia (Akmal Haziq) telah keluar dari hospital tetapi masih perlu terus menjalani rawatan. Dia akan menjalani pembedahan seterusnya tidak lama lagi bagi menggantikan tempurung kepala tiruan pada Julai ini de­ngan kos antara kira-kira RM5,000 hingga RM6,000.

“Jadi dengan mengharapkan pendapatan suami yang bekerja sebagai pengawal keselamatan untuk menyara sembilan anak yang masih belajar saya begitu gusar kerana tidak mampu untuk mendapatkan kos sebanyak ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Luas di sini, hari ini.

Menurut Salmiah pada masa ini anaknya itu masih tidak bersekolah dan masih dipantau dari semasa ke semasa bagi memastikan keadaannya bertambah baik.

Katanya, tiada apa yang difikirkannya pada masa ini selain memberikan tumpuan kepada anaknya yang perlu dibawa mela­kukan pemeriksaan di hospital setiap bulan.

“Bagi saya pada masa ini adalah kesihatan anak saya dan saya berharap dia sembuh dan tempurung kepalanya dapat diganti bagi memastikan masa depannya kelak,” ujarnya.

Sesiapa yang ingin menyalurkan bantuan boleh menghubu­ngi Salmiah di talian 018-9672443 atau menyalurkan bantuan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Salmiah Mohd Ali (0611329000127441).