Penyelidikan itu bermula pada Disember 2014 dan siap Januari lalu.

Pensyarah Pusat Bahasa Mo­den dan Sains Kemanusiaan UMP, Dr. Rashidi Abbas berkata, Huffaz-M merupakan salah satu kaedah yang menggunakan apli­kasi teknologi terkini untuk mengekalkan hafazan.

“Huffaz-M juga menyediakan kit panduan hafazan berkesan untuk para huffaz dan buku sebagai rujukan semua.

“Aplikasi ini dapat meningkatkan proses hafazan secara efektif dan berkesan serta membantu madrasah, maahad tahfiz, institut tahfiz melahirkan lebih ramai hu­ffaz al-Quran.

“Peningkatan bacaan hafazan ini termasuklah kaedah untuk hafazan yang baharu (dars jadid), kaedah mengekalkan hafazan yang lepas (sabiq) dan kaedah mengulang-ulang bacaan (taqrir/murajaah),” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. Rashidi berkata, Huffaz-M boleh dimasukkan ke dalam telefon pintar melalui perisian yang perlu dimuat turun dari Google Play Store bagi memudahkan pelajar.

“Bagi pelajar, perlu ada telefon pintar untuk memuat naik apli­kasi ini dan boleh melihat dan mendengar bacaan yang betul dari qari serta dapat mengulang-ulang kembali ayat yang belum dikuasai atau dihafal,” katanya.

Beliau berkata, anggaran kos untuk satu set peranti berkenaan adalah RM200 termasuk dengan aplikasi Android.

“Penemuan ini bukan sahaja dapat membantu pelajar meningkatkan dan mengekalkan hafazan dan malah mudah dibawa ke mana sahaja. Saya berharap apikasi ini dapat dikembangkan dan dimanfaatkan terutama kepada pelajar-pelajar tahfiz dan Maahad Tahfiz di seluruh negara,” katanya.

Penyelidikan itu diiktiraf apa­bila meraih pingat emas di pertandingan Reka Cipta, Kreatif dan Inovasi (Citrex) 2016 dan pi­ngat gangsa di Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX) 2016.