Tinjauan Utusan Malaysia di tapak projek itu mendapati, hanya dua rumah contoh siap dibina manakala selebihnya ditinggalkan sehingga dinaiki rumput.

AMERUDIN MOHD. YASIN
AMERUDIN MOHD. YASIN 

Malah, hanya satu baris rumah yang sempat dibina manakala kawasan tanah lain belum didirikan apa-apa bangunan.

Seorang generasi kedua Felda Lurah Bilut, Amerudin Mohd. Yasin, 50, berkata, keadaan projek perumahan berkenaan yang dibiarkan terbengkalai mengecewakan warga Felda di situ.

“Saya mendaftar untuk membeli rumah ini, kerap saya datang melihat proses pembinaan kerana tidak sabar untuk memasuki rumah sendiri.

“Meskipun kami kecewa kerana projek ini terbengkalai tetapi kami masih menaruh harapan tinggi agar diteruskan. Kami juga berharap perkara ini jangan dipolitikkan hingga memberi kesan kepada rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

WAN MUHAMMAD IKMAL ARIFF WAN ABDUL RAHMAN
WAN MUHAMMAD IKMAL ARIFF WAN ABDUL RAHMAN 

Dalam pada itu, seorang generasi ketiga Felda ber­kenaan, Wan Muhammad Ikmal Ariff Wan Abdul Rahman, 22, berharap projek pembinaan rumah yang mampu dibeli oleh warga Felda itu dapat diteruskan.

Dengan harga rumah yang tinggi dijual pemaju pada masa ini, katanya, adalah mustahil bagi generasi baharu sepertinya untuk membeli rumah di luar Felda.

“Saya pernah bekerja di Kuala Lumpur dan kembali ke sini berniaga. Malah ramai lagi rakan saya kembali ke tanah rancangan, jadi pembinaan rumah generasi baharu ini pen­ting bagi memberi peluang kepada kami membeli rumah,” katanya.