Mohd. pauzi Abu Hussaini

Setiausaha MDL, Mohd. Pauzi Abu Hussaini berkata, pihaknya menawarkan 268 tapak lot di tiga lokasi utama berkenaan, tetapi hanya 214 orang pemohon dite­rima untuk mengendalikan jualan makanan sepanjang bulan puasa ini.

“Kadar sewa RM310 untuk jualan pelbagai jenis makanan dan keperluan tertentu termasuk disediakan kemudahan khemah, manakala gerai tanpa khemah dikenakan caj RM200 kepada penyewa untuk jualan kuih-muih.

“Taklimat berhubung peraturan perniagaan kepada peniaga ini telah pun disampaikan oleh penguat kuasa MDL, pegawai Pejabat Agama Islam Lipis, Pejabat Kesihatan dan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Ko­perasi dan Kepenggunaan sebelum gerai berkenaan beroperasi pada hari pertama Ramadan,” katanya selepas taklimat kepada peniaga bazar Ramadan, di sini baru-baru ini.

Menurut Mohd. Pauzi, hasrat MDL menyediakan kemudahan itu bukan sahaja untuk keselesaan penduduk membeli juadah berbuka puasa malah bagi menggalakkan pembangunan keusahawanan makanan dalam kalangan peniaga kecil di daerah ini.

“Kita berharap pengusaha makanan ini bukan hanya berniaga pada bulan puasa sahaja malah diteruskan selepas ini memandangkan banyak gerai dan premis niaga MDL yang boleh di­sewa dengan kadar harga berpatutan,” katanya.

Beliau juga meminta semua peniaga menjual makanan berasaskan sumber tempatan atau tradisional kerana juadah itu antara jaminan menjadi pilihan penggemar termasuk pengunjung yang singgah berbuka puasa di hotel dan restoran di bandar ini.

Dalam pada itu, Mohd. Pauzi meminta peniaga mematuhi peraturan kebersihan ditetapkan termasuk tidak menjual makanan yang telah basi.

Tambahnya, penguat kuasa MDJ akan bertindak mengikut peraturan sekiranya didapati pe­niaga degil dan cuai seperti mana taklimat peraturan yang diberikan sebelum gerai makanan itu beroperasi di sini.