Bertolak dari kebenaran itu, Unit Hal Ehwal Wanita (Halwa) Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Damak mengunjungi 120 Orang Asli beragama Islam di 22 keluarga di Kampung Sungai Berjuang dekat sini baru-baru ini.

Sempena kunjungan itu, Halwa DUN Damak mengadakan majlis ta'aruf, tazkirah mengenai pembinaan akidah Islam dan dialog termasuk pendidikan.

Mereka turut menyampaikan sumbangan hamper makanan dan pakaian terpakai kepada keluarga masyarakat tersebut.

Penyelaras Program, Siti Roswati Sh. Ghalib berkata, kunjungan Halwa ke kampung berkenaan sebagai usaha pembangunan syiar Islam khususnya menjana aspek kekeluargaan, pendidikan dan sosial.

“Menerusi sesi dialog, kita juga memperoleh maklumat dalam kalangan wanita Orang Asli dan kami terkejut kerana mereka masih ‘buta agama’ dan ketinggalan mengenai Islam walaupun sudah 20 tahun mengucapkan kalimah syahadat.

“Mereka juga meminta pihak berwajib menghantar guru agama wanita untuk membimbing berkaitan fardu ain, mempelajari al-Quran supaya mampu menguatkan akidah mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Menurutnya, sempena program ziarah itu, ahli Halwa sempat menitip pengetahuan Islam kepada kanak-kanak di situ iaitu mengenali perkara asas al-Quran, solat dan motivasi pembentukan nilai akhlak.

“Berasaskan keprihatinan dan tanggungjawab utama sebagai orang Islam, kita akan menghantar dua sukarelawan iaitu guru agama wanita untuk mengajar al-Quran, perkara asas fardu ain kepada wanita serta kanak-kanak Orang Asli di sini bermula awal bulan depan,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk Orang Asli beragama Islam Sungai Berjuang, Biah Abdullah, 50, berkata, kunjungan ahli Halwa DUN Damak memberi sedikit kelegaan kepada mereka kerana sebelum ini banyak ketinggalan dalam ajaran Islam.

“Kami mahu belajar solat dengan cara betul dan diterima oleh Allah SWT selain membaca al-Quran bersungguh-sungguh yang boleh memberi ketenangan hidup, memperoleh keberkatan serta menguatkan akidah masing-masing,” katanya.