Pendakian bukit batu kapur setinggi 150 meter itu merupakan antara pendekatan para guru memeriahkan acara yang disambut pada setiap tahun itu menerusi kegiatan rekreasi dan riadah.

Lebih menarik, pendakian puncak Via Ferrata diketuai Pengetua SMK Felda Kota Gelanggi 2, Che Harun Hamat dan beliau merupakan peserta pertama tiba di puncak bukit batu kapur itu.

Pendakian anjuran Kelab Guru di bawah tunjuk ajar dan pengawasan keselamatan jurulatih Taman Ekstrem Kampung Paya Gunung, Wan Ruhaiza Wan Daud.

Pengarah program, Sarimah Ismail berkata, tujuan aktiviti tersebut bukan sahaja memeriahkan sambutan Hari Guru tahun ini, tetapi juga bagi menye­mai semangat berpasukan, setiakawan di samping mengeratkan hubu­ngan dalam kalangan masyarakat Melayu Kampung Paya Gunung.

“Usaha mendaki ini supaya kami dapat menyemai kekuatan mental dan jasmani menerusi amalan gaya hidup sihat dan menikmati keindahan alam sekitar. Sememangnya kami amat ­teruja dengan panorama ciptaan Allah SWT tatkala berada di puncak Via Ferrata.

“Sebagai pendidik, ak­­tiviti ini mampu me­ngembangkan potensi diri menerusi kemahiran menggunakan peralatan mendaki, keyakinan dan disiplin secara maksimum,” katanya ketika ditemui di Pusat Ekstrem Kampung Paya Gunung baru-baru ini.

Sementara itu, seorang peserta, Siti Khatijah Ahmad mengakui, aktiviti berke­naan mencipta satu keseronokan dan keceriaan baharu yang jarang diperoleh khususnya para guru yang banyak memfokuskan kepada tugas mengajar di bilik darjah.

“Walaupun pada awalnya berasa gayat untuk mendaki bukit batu kapur ini tetapi tunjuk ajar jurulatih dengan teknik menggunakan peralatan dan mengutamakan keselamatan memberi keyakinan kepada kami.

“Ini merupakan puncak perta­ma yang saya daki dan kese­ronokannya mendorong saya ber­cadang untuk mengajak rakan-rakan menyertai lagi aktiviti ini pada hujung minggu,” katanya.

Sementara itu, Che Harun berkata, dia tidak menyangka menjadi peserta pertama yang tiba di puncak Via Ferrata selain bertuah mendapat tunjuk ajar daripada jurulatih berpengalaman.

“Perasaan gayat ketika berada di tempat tinggi memang ada, tetapi apabila semakin hampir ke puncak, perasaan berkenaan mula reda dan bertukar seronok serta sangat puas,” ujarnya.

Tambah Che Harun, aktiviti mendaki dilihat amat sesuai bagi setiap guru menghilangkan tekanan setelah mengajar di kelas selain berupaya mencorak warna berbeza bagi sambutan Hari Guru.