Pro-Canselor UiTM, Tan Sri Dr. Arshad Ayob berkata, graduan universiti itu yang secara automatik menjadi alumni UiTM perlu mempunyai rasa tanggung jawab untuk bersama-sama membina satu generasi hebat dan disegani di peringkat global.

Sehubungan itu, katanya, pengisian TP1B perlu dipertingkatkan kerana sasaran mengumpul dana sehingga RM1.3 bilion masih belum tercapai.

“Jika setiap alumni menabung sebanyak RM2,000 secara ansuran atau tunai tidak mustahil sasaran RM1.3 bilion itu tercapai malah lebih daripada jumlah itu.

“TP1B dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada April 2015 bagi tujuan pendidikan, kebajikan, biasiswa dan penyelidikan ilmiah yang memberi pulangan kepada ge­nerasi baharu yang mengisi agenda Transformasi Nasional 2050 (TN50),” katanya selepas me­nyempurnakan Istiadat Konvoke­syen UiTM Ke-87 membabitkan 1,415 graduan UiTM Cawangan Pahang di Dewan Indera Segara, di sini baru-baru ini.

Menurutnya, UiTM tidak harus bergantung sepenuhnya kepada peruntukan kerajaan semata-mata kerana 19 universiti awam lain turut dibiayai kerajaan.

Sebagai contoh, katanya, kerajaan memperuntukkan kepada UiTM sebanyak RM2.2 bilion pada tahun ini dan RM2.5 bilion tahun lalu.

Katanya, ibu bapa graduan sendiri pun harus bermurah hati menabung dalam TP1B kerana kos pengajian peringkat diploma dan ijazah di universiti awam murah berbanding universiti swasta.

“Sumbangan kepada TP1B sebagai tanda berterima kasih dan bersyukur kerana UiTM yang membawa misi amanah negara menawarkan kos pe­ngajian yang mampu dibia­yai oleh ibu bapa,” katanya.