Yang Dipertua Majlis Sukan Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar berkata, sehubungan itu, penganjuran pertandingan seperti Kejohanan Bola Tampar Jabatan Penjara di sini baru-baru ini dapat menyatukan hati kakitangan di samping merupakan satu daripada komponen amalan gaya hidup sihat.

Beliau berkata, penganjurannya juga sebagai persediaan Jabatan Penjara untuk menyertai kejohanan Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota Kerajaan (Maksak) tidak lama lagi.

“Kesihatan yang baik sangat penting bagi setiap individu sebagai pegawai dan kakitangan Jabatan Penjara untuk melaksanakan tugas dengan lebih sempurna.

“Tugas ini semestinya memerlu­kan anggota berada pada tahap ke­sihatan yang baik melibatkan mental, fizikal, rohani dan jas­mani,” katanya ketika ber­ucap me­ras­mikan kejohanan itu di Kompleks Sukan Universiti Islam Antarabangsa, Indera Mahkota.

Yang hadir sama Pengarah Pen­jara negeri, Datuk Ab. Basir Mohamad dan Pengarah Penjara Penor, Datuk Abu Hasan Hussain.

Dalam Kejohanan Bola Tampar Jabatan Penjara itu, pasukan Selangor (A) muncul juara selepas menewaskan pasukan Selangor (B) pada perlawanan akhir.

Zulkifli yang juga Ketua Pengarah Penjara berkata, jabatan berkenaan turut berusaha menggerakkan Program Jom Sihat yang dijayakan mengikut zon bagi menyuntik rasa cinta terhadap kesihatan diri.

Sementara itu, Ab. Basir berkata, kejohanan tiga hari bermula 23 September lalu itu berjaya menarik penyertaan 13 pasukan dari seluruh institusi Jabatan Penjara.

“Setiap tahun pelbagai sukan dianjurkan oleh Majlis Sukan Penjara Malaysia termasuk acara menembak, boling dan futsal,” katanya.