Pengisian program dua hari anjuran Pusat Sumber Kemas (PSK) dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Gabungan Peneroka Wanita (GPW) itu melibatkan ceramah, pertandingan melukis, mewarna dan bercerita.

Pegawai Kanan Kemas Jerantut, Datuk Abdul Ghaffar Abdul Mutalib berkata, jabatan itu sentiasa menggalakkan warga peneroka dan anak mereka menyuburkan amalan membaca di PSK, masjid dan rumah selain di sekolah.

“Penganjurannya antara lain bertujuan menggalakkan pene­roka supaya menjadi contoh kepada anak masing-masing dalam menyuburkan amalan membaca bagi mendapatkan ilmu penge­tahuan,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan.

Dalam pada itu, Abdul Ghaffar menyarankan PSK di semua Felda di daerah ini mengadakan lebih banyak kegiatan berasaskan pembacaan bagi mewujudkan masyarakat kelas pertama dari segi pengetahuan dan kemahiran.

Katanya, dua aspek itu pen­ting khususnya untuk berdepan cabaran kerjaya dan kehidupan moden pada alaf baharu.

Sementara itu, seorang Ahli GPW Felda Kota Gelanggi 4, Sabariah Muda berkata, program tersebut dapat menggalakkan warga peneroka dan anak-anak mereka mencintai buku sebagai sumber pengetahuan.