Sebelum ini, kumpulan gajah yang terdiri antara tiga hingga lima ekor itu juga pernah menceroboh kawasan tanaman di Kampung Jeram Landak, Kampung Tanjung Buluh, Kampung Lentang dan Kampung Batu Sembilan sejak awal tahun ini.

Seorang penduduk, Rosli Bidin, 54, berkata, dalam kejadian tersebut, seekor gajah dipercayai terpisah daripada kumpulannya la­lu menceroboh kediaman berdekatan pekan itu ketika kebanyakan penduduk sedang berehat dan menonton televis­yen.

“Saya sedang menyaksikan perlawanan bola sepak di sebuah premis di pekan Kerambit dan apabila pulang ke rumah, saya terkejut apabila melihat pagar rosak termasuk tanaman musnah.

“Ini merupakan kali kedua berlaku ancaman haiwan liar dalam tempoh dua minggu sehingga menyebabkan banyak tanaman komersial di sekeliling rumah habis musnah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Katanya, sebelum ini, gajah liar pernah muncul berdekatan rumah pada sebelah siang dan dia sempat merakamkan gambar haiwan itu yang cuba menghampiri kawasan tanaman.

Sementara itu, seorang suri rumah, Salina Mohamad, 50, berkata, gajah itu datang dari hutan simpanan berdekatan untuk mencari makanan kerana kawasan habitat sudah diterokai bagi tujuan pembangunan tanah.

“Hal ini merunsingkan kami kerana gajah akan datang semu­la menceroboh kawasan perumahan dan pertanian sehingga penduduk terpaksa menanggung jumlah kerugian yang besar,” katanya.

Menurutnya, sekiranya tidak ada pemantauan seperti menghalau atau memindahkan haiwan itu ke santuari, berkemungkinan pekan Kerambit diceroboh oleh gajah liar malah turut mengancam nyawa manusia.