Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Datuk Mustaffar Kamal Ab. Hamid berkata, BN juga perlu merampas kembali dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Semambu dan Beserah yang turut dimenangi pembangkang pada pilihan raya umum lalu.

“Kita sedar pada pilihan raya umum lalu, kita tewas 3-0 kepada pembangkang dan pada PRU-14 nanti, kita perlu memastikan kemena­ngan kembali berpihak kepada kita.

“Untuk memperolehi kemenangan, kita perlu bekerja kuat di semua peringkat dan turun bertemu rakyat dan pengundi. Apa yang penting jangan ada pergeseran dan perbalahan antara sesama kita,” katanya ketika berucap dalam Persidangan Perwakilan Pemuda UMNO Indera Mahkota yang dirasmikan Ahli Majlis Ter­tinggi UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki di sini semalam.

Yang hadir sama, Ketua Pemuda UMNO negeri, Mohd. Shahar Abdullah dan Ketua Pemuda UMNO Indera Mahkota, Muhammad Faiz Hashim.

Mustaffar Kamal berkata, seluruh ahli dan kepimpinan parti juga perlu menyokong siapa sahaja calon yang dipilih kepimpinan BN untuk bertanding di Indera Mahkota.

“Jangan kita merendah-rendahkan siapa calon yang akan dipilih nanti. Apa yang penting bukan individu tetapi adalah kemenangan parti,” jelasnya.