Pelaksanaan berkenaan melibatkan 19 plaza tol dari Karak hingga ke Kuala Terengganu. Pelaksanaan kutipan tol secara elektronik di sembilan plaza tol LPT1 dan 10 lagi LPT2 yang akan menggunakan kad Touch n Go atau SmartTag di semua lorong.

Pelaksanaan ETC di LPT1 dan LPT2 menjadikan kesemua lebuh raya di negara ini melaksanakan sistem pembayaran elektronik.

Bagi syarikat Anih Berhad (Anih), pengumuman itu menyaksikan sembilan lagi plaza tol di LPT1 melaksanakan ETC iaitu Karak, Lanchang, Temerloh, Chenor, Maran, Sri Jaya, Gambang, Kuantan dan Jabor di Terengganu.

Dalam siri laporan khas kali ini, petugas Utusan Malaysia Biro Pahang MOHAMAD SHOFI MAT ISA dan Abdul Rashid Abdul Rahman mengupas tentang kepetingan pelaksanaan ETC, persediaan Anih selain komitmen syarikat tersebut bagi memastikan semua kawasan Rehat dan Rawat (R&R) sepanjang jajaran lebuh raya kendalian mereka menepati piawaian ditetapkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

 

TEMERLOH 19 Julai -  Pelaksanaan kutipan tol secara elektronik (ETC) sepenuhnya di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) dan LPT2 bermula 14 Ogos ini amat signifikan dalam usaha mengurangkan masalah kesesakan di lebuh raya berkenaan khususnya pada musim perayaan.

Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, berdasarkan kepada kajian yang dijalankan, pelaksanaan ETC dapat me­ngurangkan kira-kira 20 peratus kesesakan lalu lintas.

“Pelaksanaannya penting bagi mengatasi kesesakan lalu lintas yang mana masa transaksi pembayaran tol dapat disingkatkan kepada enam saat bagi pengguna Touch 'n Go dan hanya tiga saat bagi pengguna SmartTag berbanding 15 saat melalui pembayaran secara tunai sebelum ini.

“Langkah ini amat signifikan dan menunjukkan kemajuan ser­ta kejayaan dalam sistem pembayaran tol di negara ini khususnya di LPT1 dan LPT 2,” katanya pada majlis pelancaran pelaksanaan ETC ba­gi LPT1 dan LPT2 di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Temerloh, di sini baru-baru ini.

Menurut Noor Azmi, pelaksanaan ETC dapat mengurangkan tempoh transaksi bayaran yang menyaksikan purata 600 kenderaan dapat melakukan transaksi dalam tempoh sejam menggunakan Touch 'n Go dan 1,000 kende­raan sejam dengan menggunakan SmartTag berban­ding hanya 240 kenderaan sejam menerusi transaksi tunai.

Keadaan itu juga, kata beliau, secara tidak langsung dapat menjimatkan bahan bakar sekali gus mengurangkan pencemaran udara da­ripada pengeluaran asap ken­deraan.

Dalam pada itu, beliau menaruh ke­yakinan pelaksanaan ETC termasuk di LPT1 berjalan lancar berdasarkan kepada persediaan rapi yang dilakukan syarikat konsesi jajaran lebuh raya itu seperti dari segi promosi dan kemudahan disediakan.

“Malah, trend peningkatan jumlah penggunaan ETC di LPT1 daripada hanya 16 peratus pada 2005 kepada 70.9 peratus pada tahun lalu menunjukkan pengguna lebuh raya itu lebih selesa menggunakan kemudahan pembayaran secara elektronik.

“Sehingga Mei tahun ini, LPT1 menunjukkan peningkatan penggunaan ETC iaitu seba­nyak 74.1 peratus dan kita yakin penggunaan sistem tersebut tiada masalah dalam mencapai penggunaan ETC seratus peratus menje­lang 14 Ogos ini,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, jaringan lebuh raya di negara ini termasuk LPT1 sepanjang 174.5 kilometer merupakan antara yang terbaik di dunia.

“Keadaan jalan yang baik, penyediaan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan bantuan selain kebersihan khususnya di kawasan rehat memberikan keselesaan kepada pengguna lebuh raya itu,” katanya.