Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd. Anuar Tahir berkata, empat projek berkenaan adalah pembinaan jambatan Sultan Haji Ahmad Shah di daerah ini, jambatan Sungai Kechau, Lipis, jambatan Bentong di Bentong dan jambatan Sungai Mabuk di Kuantan.

“Keseluruhan projek ini hampir RM200 juta iaitu RM160 juta bagi jambatan Sultan Haji Ahmad Shah, jambatan Sungai Kechau (RM9 juta), jambatan Bentong (RM5 juta) dan jambatan Sungai Mabuk (RM10.2 juta).

“Projek-projek ini perlu diberikan keutamaan selepas Kementerian Kewangan menga­rahkan projek yang dilaksana­kan dan diluluskan kerajaan terdahulu ditangguhkan dan dinilai semula sebelum dilaksanakan,” katanya kepada pemberita selepas lawatan projek infrastruktur kawasan Temerloh di sini baru-baru ini.

Yang hadir sama Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Datuk Ir. Abdul Jalil Muhamed.

Pada majlis itu, beliau me­ninjau projek menggantikan jambatan sedia ada di jalan Persekutuan merentasi Sungai Semantan di sini dan melawat lokasi cadangan projek menaik ­taraf Jambatan Sultan Haji Ahmad Shah daripada dua lorong kepada empat lorong.

Mohd. Anuar berkata, sebagai Ahli Parlimen Temerloh dan Timbalan Menteri Kerja Raya, beliau akan meminta Kementerian Kewangan memberikan keutamaan kepada projek menaik taraf jambatan Sultan Haji Ahmad Shah.

“Skop projek dengan anggaran kos RM160 juta ini adalah pembinaan jambatan baharu bersebelahan jambatan sedia ada sepanjang 7373.27 kaki persegi, menaik taraf jalan sepanjang 1.5 kilometer serta membina sistem saliran.

“Projek ini diluluskan di dalam Rolling Plan Ketiga di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), bagaimanapun pelaksanaan fizikal projek ini tertakluk kepada kajian kos projek sebagaimana diarahkan agensi pusat,” katanya.