Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman berkata, kelulusan pihak berkuasa agama penting bagi mengelakkan penceramah bebas yang dijemput menyalahgunakan peluang itu untuk menyebarkan aliran yang bertentangan dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Kesultanan Pahang sejak zaman berzaman mengamalkan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah dan tidak ada tempat aliran lain seperti Syiah, Wahabi, Islam li­beral dan aliran pluralisme agama untuk bertapak di negeri ini.

“Majlis Fakwa negeri yang dianggotai pakar agama Islam dilantik Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah menolak sebarang aliran yang bertentangan dengan akidah dan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah bertajuk Siapakah Ahli Sunnah Al Jamaah dalam program Bicara Mufti anjuran Madrasah Raudah Al-Muhibbin (Pondok Pak Kob) Seberang Chenor di sini, baru-baru ini.

Yang hadir sama ialah Pengerusi Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah negeri, Yunan Abd. Samad.

Abdul Rahman berkata, rakyat negeri ini perlu mempertahankan ajaran Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah, iatu fahaman yang telah lama diamalkan di negara ini.

“Ini kerana ajaran dan amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah tercabar dengan berkembangnya ali­ran-aliran fahaman bercanggah dengannya yang boleh menimbulkan konflik dalam masyarakat Islam.

“Oleh itu, guru dan pelajar sekolah pondok perlu menerangkan aliran dan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam kalangan masyarakat supaya mereka tidak terpengaruh dengan aliran yang sesat," katanya.

Tegasnya, masyarakat perlu didedahkan dengan keburukan dan kesan langsung kepada umat Islam jika aliran seperti Syiah dan Wahabi berleluasa.