Pengerusi Jawatankuasa Dak­wah Islamiah dan Tugas-Tugas Khas negeri, Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, kezaliman yang dilakukan tentera Myanmar terhadap etnik minoriti Islam Rohingya itu di luar kotak fikiran manusia waras.

“Dengan melihat apa yang berlaku terhadap mereka, kita perlu menyerlahkan semangat jati diri dan berbangga menjadi rakyat negara ini, sekali gus komited mempertahankan hak sebagai rakyat,” katanya ketika berucap merasmikan program Negaraku Sehati Sejiwa peringkat Parlimen Kuala Krau di Felda Jengka 23 di sini ke­lmarin.

Yang turut hadir dalam program anjuran Pejabat Penerangan Daerah Temerloh dengan kerjasama Persatuan Sahabat 60-an Felda Jengka itu ialah Pegawai Pene­rangan Daerah Temerloh, Md. Zain A. Rahman; Ketua Peneroka Felda Jengka 23, Sulaiman Bakar dan Timbalan Presiden Persatuan Sahabat 60-an, Zakaria Hassan.

Menurut Syed Ibrahim, rakyat khususnya orang Melayu beragama Islam tidak boleh malu dengan identiti mereka, sebaliknya berbangga menjadi warganegara yang sanggup mempertahankan negara dalam semua situasi.

Tegasnya, orang Melayu perlu berbangga kerana sejarah telah membuktikan kecemerlangan dan kegemilangan kaum ber­kenaan te­lah terpahat sejak zaman­ Kesultanan Melayu Melaka.

Pelbagai provokasi berhubung kepemimpinan negara yang me­wujudkan persepsi negatif dan jika tidak dikawal, boleh mengundang risiko yang mengancam perpaduan rakyat.

“Kezaliman terhadap etnik Rohingya oleh pemerintah Myanmar harus direnungi oleh orang Me­layu beragama Islam,” katanya.