Ketua Pegawai Eksekutif MTDC, Datuk Norhalim Yunus berkata, peruntukan sejak tahun lalu itu disediakan bagi membantu usahawan IKS melebarkan jaringan komersil produk halal di negara-negara berpotensi di samping pembangunan teknologi pembuatan untuk mencapai keupayaan produksi.

“Setakat ini sebanyak lapan syarikat IKS melibatkan dana sebanyak RM18 juta diberikan bagi pembangunan perniagaan mereka.

“Kita masih mempunyai sebanyak RM7 juta dana untuk diagih­kan kepada usahawan produk halal IKS yang ingin membawa perniagaan mereka ke peringkat lebih tinggi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Road To Grow Zon Timur di sini, hari ini.

Lebih 200 usahawan sekitar pantai timur menyertai program tersebut bagi memperkenalkan perkhidmatan MDTC yang menjadi platform lebih ramai usahawan tempatan melihat potensi untuk membangunkan perniagaan mereka.

Menurut Norhalim, peruntukan berkenaan bukan sekadar menyediakan dana tetapi turut membantu dalam aspek rundingan dan pembangunan perniagaan selain melihat keupayaan pasaran di negara luar.