Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, berdasarkan kesesuaian tanah serta cuaca menyebabkan daerah ini amat berpotensi menjadi pengeluar rock melon negara.

“Pada masa ini penanaman rock melon yang dibuat di Kuala Medang di sini berjaya menghasilkan buah berkualiti dan manis yang mendapat permintaan tinggi.

“Jadi kita akan memperluaskan lagi penanaman ini di daerah ini yang mana dalam masa terdekat kita memperluaskan ke Tanjung Besar di Benta dekat sini,” katanya sempena Hari Bertemu Pelanggan Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi negeri di ladang rock melon Kuala Medang di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi negeri, Datuk Seri Ir. Mohd. Soffi Abd. Razak dan Timbalan Ke­tua Pengarah Operasi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Nazipah Jamaluddin.

Pada majlis itu, Wan Rosdy turut menyaksikan majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) antara peserta ladang kontrak dengan FAMA bagi memasarkan buah berkenaan.

Wan Rosdy berkata, pada masa ini terdapat kira-kira 8.5 hektar kawasan penanaman rock melon telah diusahakan penduduk di daerah ini.

Katanya, selain dipasarkan di dalam negara, buah berkualiti berkenaan juga turut bakal dipasarkan ke luar negara seperti Taiwan.

Sementara itu, beliau berkata, bagi membantu peserta Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Jelai, kerajaan negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM500,000 yang akan di­salurkan kepada Jabatan Pertanian.

“Peruntukan ini boleh digunakan bagi membantu peserta yang berhadapan dengan pelbagai masalah seperti serangan gajah, pembinaan parit dan sebagainya,” katanya.