Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, pembentukan jati diri yang baik memerlukan pematuhan kepada undang-undang, sikap berwaspada dan sentiasa bertanggungjawab dalam perlakuan masing-masing.

Titah baginda, untuk menjadi pelajar cemerlang pula memerlukan tumpuan, kemahiran berfikir, daya fokus yang tinggi dan ke­upayaan menyelesaikan masalah.

“Kesemua sikap ini boleh di­ben­tuk menerusi permainan catur. Pelbagai faedah diperoleh jika permainan catur dibudayakan dalam kalangan rakyat,” titah baginda ketika merasmikan bengkel catur bagi pelajar peringkat negeri sempena Memuliakan U­lang Tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang di sini semalam.

Kira-kira 300 orang menyertai bengkel berkenaan.

Tengku Abdullah bertitah, permainan catur juga boleh membentuk semangat patriotisme dan menanam sikap bertanggungjawab golongan muda dalam mempertahankan kedaulatan negara serta sistem raja berperlembagaan.

Jika dinilai secara kritis, titah baginda, kemenangan dalam permainan catur adalah kepada pemain yang berjaya mempertahankan kedudukan raja atau buah catur king.

“Oleh itu, king boleh diterjemahkan sebagai simbol kedaulatan sesebuah negara manakala queen, bishop, knight, castle dan pawn adalah pembesar negara serta rakyat jelata yang mempu­nyai peranan menangkis serang­an ke atas kedaulatan negara,” titah baginda.