Bukit Seladang yang terletak di Kampung Sungai Lekok di sini dengan ketinggian hampir 165 meter kini menjadi tumpuan ramai kerana pendakiannya tidak rumit.

Seorang pendaki yang juga pesakit kanser, Zaki Mohd. Yamani, 28, berkata, Bukit Seladang atau turut dikenali sebagai Bukit Pohon Sebatang merupakan tempat riadah yang menjadi tumpuan segenap lapisan masyarakat terma­suk orang luar.

“Semakin ramai orang datang ke sini malah ada juga yang membawa kanak-kanak untuk mendaki hingga ke puncak kerana lokasi ini mempunyai laluan bersimen.

“Bukit ini juga menjadi tempat saya dan rakan-rakan beriadah untuk mengekalkan tahap kecergasan sebelum mendaki di tempat yang lebih sukar,” katanya di sini baru-baru ini.

Bagi seorang guru, Wan Ruh Daud berkata, bukit berkenaan begitu sesuai untuk pendaki amatur atau mereka yang baharu berjinak-jinak dengan sukan pendakian.

“Ada yang mendakinya setiap hari malah aktiviti di bukit ini sesuai untuk menguji ketahanan mental dan fizikal biarpun pendakiannya tidak rumit seperti tempat lain.

“Saya dan rakan-rakan juga se­ring mendaki pada awal pagi dan petang untuk melihat panorama indah ciptaan Allah,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris memberitahu, sukan mendaki boleh dijadikan satu produk pelancongan di daerah ini kerana terdapat banyak lokasi yang sesuai untuk aktiviti itu.

“Saya lihat ramai anak-anak muda sekarang meminati sukan lasak ini dan kita akan terus mempromosikan produk pelancongan ini kepada orang luar untuk menarik lebih ramai pelancong selain ke Taman Negara Kuala Tahan,” jelasnya.