Antara fokus utama pembangunannya adalah melaksanakan projek pembinaan premis baharu di Bukit Residen dan bandar baharu Lipis.

Daerah ini yang pernah menjadi ibu negeri Pahang pada abad ke-19 merupakan bandar transit pengunjung dan kenderaan dari Lembah Klang ke Kelantan.

Berasaskan hakikat ini, pusat perniagaan di Bukit Residen yang dijangka beroperasi bulan depan menawarkan pelbagai perkhidmatan sosial dan kemudahan membeli-belah dalam kalangan penduduk Lipis khususnya serta orang ramai amnya.

Projek berkenaan merupakan usaha sama antara MDL dengan Jalih Sendirian Berhad, iaitu sebuah syarikat pembinaan terkenal di daerah ini yang sehingga kini telah menyiapkan lapan unit kedai tiga tingkat.

Setiausaha MDL, Mohd. Pauzi Abu Hussaini berkata, setiap unit premis yang dibina bernilai RM800,000 dan kewujudannya menjadi pusat perniagaan terbesar di daerah ini.

“Projek yang dibangunkan tahun lalu itu terletak di kaki Bukit Residen dan berdekatan dengan hotel, balai polis serta kompleks sukan. Kewujudannya bakal menjadi pusat tumpuan penduduk dan pengunjung.

“Sebanyak empat premis telah disewakan kepada Koperasi Kakitangan Majlis Daerah Lipis (Kesukma) manakala empat lagi ditawarkan kepada penyewa yang layak,” katanya di sini baru-baru ini.

Menurut Mohd. Pauzi, kadar sewa bulanan yang dikenakan sebanyak RM3,000 adalah kompetitif memandangkan pusat perniagaan itu terletak di lokasi strategik dan menjadi tumpuan orang ramai.

Katanya, usahawan yang menyewa premis tersebut berpeluang memasarkan pakaian berjenama, alat kosmetik, peralatan teknologi maklumat dan komunikasi serta pelbagai barangan lain.

“Projek di Bukit Residen ini menjadi antara kompleks perniagaan yang bakal melonjakkan bandar Kuala Lipis sebagai pusat tumpuan pengunjung di Pahang Barat.

“MDL juga berhasrat merancakkan sektor perniagaan menerusi penglibatan usahawan Bumiputera di daerah ini menerusi pasaran produk tempatan dan barangan dari luar,” ujarnya.

Sementara itu, seorang usahawan, Azmi Mat Ludin, 46, berkata, projek perniagaan di Bukit Residen menjadi mercu tanda baharu bandar Kuala Lipis yang sinonim dengan pelbagai artifak sejarah peninggalan British.

Tambahnya, projek itu juga melestarikan keceriaan bandar ini yang mampu menghidupkan suasana malam di situ.

“Pengunjung yang datang ke daerah ini untuk melihat kesan sejarah British boleh berbelanja di premis baharu Bukit Residen sekali gus membantu merancakkan sektor perniagaan,” katanya.