Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Datuk Seri Shahirudin Ab. Moin berkata, pemberian wang berkenaan secara terus ke dalam akaun penerima menunjukkan keikhlasan kerajaan dalam membantu rakyat di negara ini.

“Ada orang mempertikai BR1M adalah muslihat politik. Jika ia diberi demi kepentingan politik, kerajaan tidak akan membuat dasar dengan memasukkan terus ke dalam akaun penerima.

“Ini menunjukkan ketelusan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang bersungguh-sungguh membantu seluruh rakyat di negara ini,” katanya dalam Majlis Penyampaian BR1M kepada 738 penerima di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tras dan DUN Dong yang tidak mempunyai akaun bank, di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Talam, Datuk Abdul Aziz Mat Kiram dan Pegawai Daerah, Datuk Hamdan Hussin.

Menurut Shahirudin, BR1M yang diperkenalkan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak signifikan dalam membantu meringankan beban rakyat.

Beliau berkata, bantuan wang tunai berkenaan bermanfaat dan mendapat reaksi positif daripada masyarakat berbilang kaum.

“Saya harap BR1M dapat terus dilaksanakan dan meminta semua penerima supaya membuka akaun bagi membolehkan bantuan ini dimasukkan terus ke dalam akaun mereka,” katanya.

Sementara itu, katanya, lebih 20,000 individu menerima bantuan BR1M di daerah ini dengan peruntukan lebih RM20 juta.