Ketua Penolong Pengarah BT­PN Pahang, Mohamed Kamal Ha­shim berkata, hubungan yang le­bih akrab dilihat boleh mengundang dan mengakibatkan terdedah kepada salah laku tersebut.

“Rasuah dalam kalangan penjawat awam sudah menjadi satu penyakit kebelakangan ini dan sepatutnya perkara demikian tidak berlaku jika kita sedar tentang tanggungjawab masing-masing.

“Zaman sekarang sudah canggih, penjawat awam kena lebih berhati-hati dalam setiap perkara terutama membabitkan pekerjaan, pembayaran dan komisen kerana dengan satu muat turun sahaja sekelip mata menjadi tular di media sosial,” katanya ketika berucap dalam Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) BTPN 2017 di sini, baru-baru ini.

Kira-kira 50 ketua jabatan dan pegawai hadir pada sesi taklimat dan ikrar yang diilhamkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu.

Yang turut hadir, Pengarah SPRM negeri, Datuk Alias Salim.

Menurut Mohamed Kamal, se­tiap pegawai dan kakitangan perlu menyemat perasaan benci rasuah dan mengamalkan inte­griti dalam semua urusan malah disyorkan memaklumkan tindakan mereka kepada ketua terlebih dahulu.

“Menerusi pendekatan IBR ini dapat menyedarkan kakitangan dan pegawai mengenai kesan buruk akibat penglibatan rasuah. Kami sememangnya komited da­lam memerangi rasuah dan saling mengingati kepentingan integriti pada setiap perhimpunan atau perjumpaan,” ujarnya.

Sementara itu, Alias berkata, pihaknya menyokong penuh saranan BTPN agar tidak mengambil kesempatan dan mempunyai kepentingan lain ketika beru­ru­san dengan pihak pembekal atau kontraktor.

Katanya, kerjasama antara SP­RM dan BTPN adalah perlu dalam menyampaikan maklumat agar mereka tidak terjebak hingga boleh membawa kepada perbuatan rasuah.

“Kerjasama ini juga menguatkan lagi mesej yang ingin disampaikan SPRM di samping ikrar yang dilafazkan dapat berubah ke arah kebaikan,” katanya.