KUANTAN 2 Okt. – Dewina Holdings Sdn. Bhd. (Dewina) meneruskan siri jelajahnya di negeri ini dalam usaha merancakkan lagi promosi ke atas rangkaian produk Brahim’s kepada pengguna di sekitar Pantai Timur.
Pengurus Pemasaran dan Jualan Dewina, Mohamad Fazil Othman berkata, Kuantan merupakan lokasi ketiga dalam siri jelajah tersebut selepas Pulau Pinang, Subang Jaya dan dijangka berakhir di Johor pada Disember ini.
“Umum sudah mengetahui bahawa produk Brahim’s seperti sos sedia dimasak dan nasi sedia untuk dimakan ini bukan sesuatu yang baharu, tetapi jelajah ini dilakukan sebagai inisiatif mendekatkan kami dengan pengguna.
“Kami sangat teruja untuk memperkenalkan rangkaian produk kepada pengguna kerana bukan sahaja berkualiti dan sihat tetapi mudah disediakan. Jelajah ini juga sebagai permulaan Brahim’s meraikan sambutan ulang tahun ke-30 pada tahun depan,” katanya kepada pemberita di sini kelmarin.
Menurusi jelajah tersebut, Dewina turut melaksanakan demonstrasi masakan di samping mengadakan kuiz dan cabutan bertuah kepada pengunjung di pasar raya besar Giant di sini selama tiga hari berakhir hari ini.
Yang turut hadir Pengarah Eksekutif Kumpulan Dewina, Nur Fatin Ibrahim dan Ketua Komunikasi Dewina, Azizah Wahid.
Menurut Fazil, beliau yakin dengan gaya hidup masa kini dan kekangan masa produk Brahim’s menjadi pilihan ramai terutama wanita berkerjaya dalam menyediakan hidangan istimewa untuk keluarga.
“Brahim’s kini bukan hanya menjadi pilihan ketika pengguna ke luar negara atau mendaki gunung tetapi lebih kepada pilihan harian.
“Produk nasi sedia dimakan juga semakin bertambah iaitu daripada tujuh kepada sembilan jenis dengan Nasi Goreng Kampung menjadi pilihan utama selain Nasi Briyani Ayam, Nasi Briyani Kambing, Nasi Goreng Ikan Masin dan Nasi Arab Kambing,” jelasnya.
Tambahnya, peningkatan jualan sebanyak 50 peratus berbanding tahun lalu melalui produk nasi cukup menggambarkan bahawa ia menjadi pilihan pengguna.
“Kita turut menerima maklum balas yang cukup positif kerana semua sos dan nasi keluaran Brahim’s mempunyai nilai nutrisi pemakanan baik dan tiada tambahan Monosodium Glutamat (MSG, bahan pengawet serta pewarna tiruan,” jelasnya.