Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long berkata, pada masa ini pihaknya telah mengenal pasti tapak bersesuaian bagi pembinaan masjid-masjid itu dalam masa terdekat.

“Masjid baharu ini ialah Masjid Kampung Jelai dengan kos RM2 juta, Masjid Aur Gading (RM1.4 juta) dan Masjid Kampung Mentara Baru (RM1.5 juta).

“Kita berharap pembinaan­nya memartabatkan lagi institusi masjid yang memainkan pe­ranan penting dalam penyatuan ummah,” katanya ketika ditemui dalam majlis perasmian Masjid Padang Tengku yang disempurnakan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah di sini, baru-baru ini.

Yang berangkat sama Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Menurut Mustapa, pada masa ini terdapat 22 buah masjid di DUN Padang Tengku yang memainkan peranan penting kepada masyarakat Islam.

Beliau memberitahu, usaha membina tiga masjid lagi berjalan lancar apabila Masjid Kampung Jelai dalam proses reka bentuk awal manakala Masjid Aur Gading dan Mentara Baru dalam proses penyediaan dokumen tender.

Dalam pada itu, beliau berkata, Masjid Padang Tengku yang siap pada 2013 memberi manfaat besar kepada penduduk di kawasan itu dalam melakukan ibadat dan pelbagai aktiviti.

“Masjid ini juga memainkan peranan dalam mengerakkan ekonomi apabila turut mempunyai ruang kedai untuk menjalankan aktiviti perniagaan,” katanya.