MOHD. NAZIP SURATMAN (dua dari kanan) menyampaikan hadiah kepada peserta pertandingan Breakthrough Invention, Innovation and Design Exhibition (Biide) di Raub, Pahang, baru-baru ini.

Pertandingan anjuran Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri (PJI) UiTM Cawangan Pahang itu melibatkan lima kategori iaitu ahli akademik, mahasiswa, pelajar sekolah menengah, pelajar sekolah kebangsaan dan agensi kerajaan.

Rektor UiTM Pahang, Prof. Dr. Mohd. Nazip Suratman berkata, program itu bertujuan mewujudkan platform untuk mempamer dan mengkomersialkan produk serta idea mereka selain wadah untuk memartabatkan inovasi di negara ini.

“Peserta menggunakan platform ini untuk menguji keberkesanan produk ciptaan mereka sejajar dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh di institusi masing-masing.

“Tahniah kepada pemenang pertandingan ini dan hasil ciptaan inovasi serta kreatif ini dapat memberi manfaat sebaik-baiknya kepada masyarakat dan negara,” katanya di sini.

Menurut Mohd. Nazip, kreativiti dan inovasi merupakan jambatan untuk mencapai matlamat Malaysia sebagai sebuah negara maju yang berbudayakannya secara menyeluruh.

Beliau berpuas hati dengan kejayaan penganjuran program julung kali itu yang dilihat mencapai matlamat ditetapkan dalam usaha membudayakan inovasi dan kreativiti.

“Pada awalnya kami tidak menyangka penyertaan sebegitu banyak memandangkan ia kali pertama pertandingan inovasi ini diadakan di Kampus UiTM Raub sejak pembukaannya dua tahun lalu,” katanya.