Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman berkata, ibu bapa bertanggungjawab memastikan anak-anak mereka celik al-Quran dan menghafaz surah dalam kitab suci itu sejak kecil.

Beliau berkata, kanak-kanak berusia seawal empat tahun sesuai didedahkan dengan bacaan al-Quran diikuti dengan hafazan yang menjadi amalan mereka seharian.

“Dalam gelombang kesedaran Islamiah yang semakin mening­kat dalam kalangan rakyat, ibu bapa mempunyai alternatif untuk menghantar anak-anak ke sekolah tahfiz.

“Langkah ini dapat melahirkan generasi muda yang huffaz al-Quran dalam sebuah negara yang makmur seperti Malaysia,” katanya ketika merasmikan pembukaan Sekolah Seri Tahfiz Al-Banna di Felda Jengka 11, di sini semalam.

Yang turut hadir pengerusi sekolah tersebut, Akreroshairi Roslan.

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, visi Sekolah Seri Tahfiz Al-Banna adalah bagi melahirkan huffaz di peringkat sekolah rendah tanpa mengabaikan pelajaran akademik teras iaitu Bahasa Me­layu, Inggeris, Sains dan Matematik.

Kata beliau, misi sekolah tahfiz berkenaan adalah untuk melahirkan generasi yang memegang teguh al-Quran dan sunnah melalui pengurusan yang profesional dengan sistem pendidikan inovatif, dinamik serta sistematik.

“Pelajar tahfiz yang melalui proses pendidikan menghafaz dan memahami al-Quran mampu menjadi individu mantap, matang, berdikari serta cemerlang sekali gus memupuk ciri-ciri kepemimpinan dalam diri mereka,” katanya.