Mamu (bukan nama sebenar), 52, sedang menjalani hukuman penjara selama sembilan tahun di Penjara Penor di sini akibat kesalahan samun dan gaduh.

Dia mula mendapat hidayah dan melafazkan syahadah sejak setahun tujuh bulan lalu apabila sayu mendengar laungan azan.

“Mendengar azan waktu itu, jiwa saya sayu dan habis sahaja azan waktu subuh, saya panggil cikgu (pegawai penjara) dan memberitahunya saya mahu memeluk Islam.

“Selepas mengucap dua kalimah syahadah, ada yang me­ngatakan saya menyembang dan berpura- pura, tetapi saya sudah tidak kisah dan hati semakin lembut,” katanya yang sebak ketika ditemui pemberita dalam majlis sambutan Maulidur Rasul Peringkat Penghuni Penjara Penor di sini baru-baru ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Pengarah Penjara Penor, Datuk Abu Hassan Hussin.

Menurut Mamu, sebelum memeluk Islam, dia seorang yang berhati batu dan pemarah.

“Saya sebelum ini memang seorang yang bengis, sebelum mulut sempat bercakap, tangan sudah jalan dulu menumbuk orang.

“Samun memang menjadi pekerjaan selain memeras ugut kedai- kedai baharu untuk beri wang perlindungan, jika tidak bagi, saya akan pukul dan tumbuk,” katanya.

Kini, Mamu sudah menghafal 18 ayat al-Quran dan mahu mendalami Islam sebaiknya dan bercita-cita menjadi pendakwah.