Lafaz ikrar itu diketuai oleh Pe­ngarah AADK negeri, Rujhan Ramli dan disaksikan Timbalan Pengarah (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri, Jamaluddin Puteh dalam satu majlis di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Indera Mahkota di sini hari ini.

Rujhan berkata, AADK negeri menyasarkan sifar aduan melibatkan salah laku dan rasuah dalam kalangan pegawai serta anggota mereka sepanjang tahun ini.

Katanya, sasaran itu adalah sebahagian daripada indeks prestasi utama (KPI) ditetapkan KDN bagi memastikan imej dan integriti agensi tersebut dipertahankan.

“AADK Pahang mencatatkan rekod bersih sepanjang tahun lalu dan kita harap ia dapat dikekalkan sepanjang tahun ini,” katanya selepas majlis berkenaan.

Menurutnya, semua kakitangan agensi itu akan berusaha menjauhkan diri daripada sebarang perlakuan yang menjurus kepada amalan rasuah.

Ke arah itu, katanya, pihaknya akan terus menjalinkan kerjasama erat dengan SPRM dalam usaha membanteras sebarang perlakuan rasuah.

Sementara itu, Jamaluddin berkata, ikrar yang dilafazkan itu seharusnya terbit dari hati yang ikhlas bukannya dibuat kerana sekadar memenuhi tuntutan ketua jabatan mereka.

“Kami mengalu-alukan AADK mengadakan program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan menjemput SRPM dalam program yang dijalankan dalam usaha membanteras perlakuan rasuah,” katanya.