Pengarahnya, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, sehingga ini status pengambilan tapak projek sudah selesai bagi membo­lehkan pembinaan balai bomba itu segera direalisasikan dalam masa terdekat.

Beliau berkata, dua buah projek yang sama iaitu di pekan Benta dan Merapoh masih dalam perancangan namun tetap diberi keutamaan menerusi usaha untuk memperoleh peruntukan da­ripada Kementerian Ke­sejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Kita berterima kasih kepada Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kerana berusaha memperoleh tapak di samping membantu permohonan peruntukan KPKT bagi projek di pekan Sungai Koyan.

“Seramai tujuh anggota termasuk seorang pegawai bomba dan penyelia akan ditempatkan di balai Sungai Koyan dengan dibantu tenaga sukarelawan bagi menangani usaha menyelamat sewaktu kebakaran, kemala­ngan dan kes kecemasan lain di kawasan Jelai,” katanya selepas majlis perasmian Taklimat dan Kursus MyBomba Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) pe­ringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) Lipis di Dewan Residen di sini semalam.

Perasmian disempurnakan oleh wakil khas Ahli Parlimen Lipis yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Lipis, Datuk Abu Jimi Samat.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat negeri, Moh. Sani Harul dan Setiausaha Majlis Daerah Lipis, Mohd. Pauzi Abu Hussaini.

Sempena program itu, pegawai dari JBPM negeri telah memberi kursus kemahiran menyelamat kebakaran, kemalangan serta penggunaan peralatan memadam kepada seramai 312 ahli JPP yang mewakili 23 pasukan sukarelawan MyBomba daerah ini.

Abdul Wahab berkata, projek premis bomba yang terletak jauh dari bandar Kuala Lipis antara komitmen jabatan untuk memantapkan tugas menyelamat dengan lebih pantas di samping mampu mengurangkan risiko kemusnahan harta benda termasuk nyawa.

“Kita juga memberikan peluang kepada komuniti setempat menubuhkan pasukan bomba sukarela serta ahli sukarelawan yang bergabung di bawah program MyBomba sekitar pekan Sungai Koyan dan tempat lain,” katanya.

Beliau berkata, sehingga ini seramai 1,378 orang tenaga sukarelawan yang terdiri daripada ahli JPP di kawasan PBT menyertai 102 buah pasukan di setiap buah daerah negeri ini.