Pengarahnya, Datuk Dr. Norlizan Mohd. Nor berkata, bagi mengurangkan kerugian akibat penyakit berkenaan, sesetengah penternak didapati menjual lembu dan kerbau dewasa yang dijangkiti FMD pada harga serendah RM1,000 seekor.

“Mereka bertindak demikian bagi mengurangkan kerugian selain dapat mengeluarkan haiwan yang dijangkiti FMD daripada kelompok ternakan mereka bagi mengelakkan jangkitan.

“Saya menasihatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh atau membeli ternakan yang dijual pada harga yang tidak munasabah yang boleh menyebabkan ternakan lain turut dijangkiti penyakit,” katanya selepas kempen suntikan pelalian FMD untuk ternakan ruminan di Dewan Semai Bakti Felda Tembangau, di sini baru-baru ini.

Yang hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, Datuk Mohd. Fadil Osman.

Norlizan berkata, walaupun penyakit FMD tidak membunuh atau menyebabkan kematian haiwan ternakan, tetapi dalam jangka masa panjang ia merugikan penternak itu sendiri.

Beliau berkata, penyakit ber­kenaan amat mudah merebak dan menjangkiti haiwan ternakan lain sehingga menyebabkan kerugian yang besar.

“Apabila dijangkiti, dalam tempoh tiga tahun sahaja kita dapat lihat kesannya. Sebagai contoh, bagi penternak lembu susu, hasilnya akan berkurangan malah anak lembu yang dilahirkan tidak sihat dan tidak mencapai berat sepatutnya.

“Keadaan ini memberi kesan kepada industri dan ekonomi penternak,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, bagi mencegah penularan penyakit itu, pihaknya menggiatkan kempen pencegahan termasuk memberi tumpuan kepada kawasan sempadan negeri.

Katanya, daerah persempadanan di negeri ini yang diberikan keutamaan ialah Bera, Bentong, Rompin (Muadzam Shah dan Endau) serta Kuala Lipis.

“Sebelum ini kita menumpukan kempen ini di kawasan penternakan yang aktif dan kerap terkena jangkitan FMD. Bagaimanapun di kawasan sempadan negeri juga jangkitan ini boleh merebak

“Setakat ini bagi keseluruhan negeri ini, kira-kira 9,800 ekor ternakan ruminan divaksin manakala di daerah ini sahaja, sebanyak 800 ekor daripada 2,000 ekor ternakan atau 40 peratus diberikan suntikan pelalian itu,” katanya.