ASL yang dianjurkan oleh Pejabat Pendidikan Lipis (PPL) dan Pejabat Parlimen Lipis memberi pengiktirafan kepada seramai 72 pelajar dan pemain yang menjuarai pelbagai kategori di peringkat negeri, kebangsaan serta mewakili negara ke peringkat antarabangsa.

PPL turut memberi pengiktirafan kepada seramai 33 pengerusi teknik sukan dan permainan, 14 ketua pengadil dan 68 setiausaha sukan sekolah yang masing-ma­sing komited serta bertungkus-lumus dalam bidang pengurusan dan kepengadilan untuk kecemerlangan sukan di daerah ini.

Pegawai Pendidikan Lipis, Amin Nollah Lateh berkata, ASL buat julung kali diadakan bertujuan memberikan penghargaan dan pengiktirafan kepada pelajar, atlet dan pasukan yang mencapai kejayaan di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.

“Kita berbangga dengan prestasi kokurikulum sekolah daerah ini mencapai kecemerlangan di peringkat negeri, kebangsaan ma­lah antarabangsa berasaskan penglibatan pelajar serta pemain yang terpilih mewakili pasukan masing-masing.

“Kecemerlangan melahirkan ramai ikon sukan dan permainan dari daerah ini sekali gus menzahirkan school character berasaskan bidang kokurikulum termasuk pencapaian akademik dan bina insan,” katanya selepas majlis berkenaan.

Penyampaian anugerah dan hadiah disempurnakan oleh Datuk Abu Jimi Samat yang mewakili Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad.

Sebanyak 15 buah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Kebangsaan (SK) yang mencapai kejayaan selain 28 pelajar dan belia yang muncul sebagai ikon serta berjaya dalam bidang sukan dan permainan masing-masing di peringkat Majlis Sukan Sekolah Pahang (MSSP) dan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) dari daerah ini turut diberi pengiktirafan.

Antara penerima Anugerah Khas ASL ialah Mohd. Hafiy Ikhwan Rhozisham (SK Tempoyang) yang mewakili Malaysia ke Kejohanan Catur Sekolah Asia di Panjin, China; Yong Jun Had (SJKC Benta) yang mewakili pasukan Bola Keranjang Junior NBA All Star Malaysia ke Shanghai, China dan Muhaimin Aeizad Azhar dari SMK Clifford, Lipis yang terpilih menjalani latihan di Akademik Bolasepak Remaja Kelab Bayen Munich, Jerman.

Sementara itu, Abu Jimi melahirkan kesyukuran dengan pencapaian atlet dalam bidang sukan dan permainan yang patut diteladani oleh pelajar serta belia lain.

Katanya, ASL 2017 merupakan platform terbaik untuk menghargai jasa dan sumbangan guru, pelajar dan pengurusan sukan yang berjaya mengharumkan nama sekolah dan daerah ini.

“Kejayaan seseorang atlet atau pemain bermula apabila bakat mereka digilap serta menerima didikan dan komitmen latihan yang tersusun daripada guru (jurulatih) tanpa mengenal erti penat lelah,” katanya.