Pada masa sama, mereka masih menanti janji untuk menghapuskan hutang peneroka. Wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD SHOFI MAT ISA menyelami keperitan hidup mereka yang seolah-olah tiada kesudahan.

KUANTAN 17 Dis. - Warga peneroka Felda terus merintih kerana kehidupan mereka ketika ini semakin terbeban dan boleh diibaratkan seperti sudah jatuh ditimpa tangga.

Bukan sahaja harga kelapa sawit merudum sehingga RM300 satu tan metrik, keluaran hasil komoditi itu juga berkura­ngan dan kesengsaraan mereka ditambah apabila bayaran sara hidup tidak diterima sejak bulan lalu.

Kini, kehidupan warga pene­roka rata-ratanya dibebani hutang yang semakin tertunggak kerana tidak mampu membuat bayaran antaranya pinjaman bulanan kenderaan, bil air dan elektrik.

Seorang peneroka di Felda Lepar Hilir 3 di sini, Yahaya Man, 61, berkata, baki bayaran sara hidup yang diterima sekitar RM500 sebulan.

“Potongan hutang peneroka dan rumah RM250, potongan mejar dalam tanah rancangan RM300.

Jadi apa kami boleh lakukan dengan duit lebihan kira-kira RM500 yang jumlah tidak seberapa itu?
“Kini, apalah nasib kami? Sudahlah pendapatan tidak seberapa, bayarannya pula tertunggak dan hutang semakin bertambah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Seorang lagi peneroka, Mohamad Hasakri, 59, berkata, dia berharap kerajaan Pusat ketika ini menyelami kesusahan dialami warga peneroka.

“Sampai bila kehidupan kami terbeban seperti ketika ini de­ngan harga kelapa sawit sema­kin jatuh dan bayaran sara hidup kami pun tertunggak, apa salah kami?,” soalnya.