Perasmian koperasi berkenaan disempurnakan oleh Presiden Ang­katan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah sempena program pembangunan perniagaan Koperasi Kariah Masjid (KKM) di pusat tahfiz.

Pengetua Madrasah al-Imaniah, Roslan Mohammmad berkata, pengurusan pusat tahfiz berke­naan berterima kasih dan bersyu­kur kerana diberi perhatian oleh Angkasa untuk menubuhkan koperasi tersebut.

“Penubuhan koperasi ini juga selari dengan ajaran Islam kerana perniagaan dianggap satu aktiviti mulia, ibadah dan sunnah Rasulullah S.A.W.

“Lagipun, perniagaan koperasi di madrasah ini memberi pe­luang kepada pelajar menguruskan sendiri urusan jual beli, kewa­ngan dan lebih penting membawa manfaat bagi keselesaan mereka berbelanja keperluan tertentu,” katanya selepas pelancaran KKM Madrasah al-Imaniah di Kampung Jerantut Feri, di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Timbalan Pe­ngerusi Angkasa Zon 2, Norzari Yahya dan Pengurus Besar Bahagian Komunikasi Korporat Angkasa, Borhan Mat Aris.

Sementara itu, Abdul Fattah berkata, penubuhan KKM Mad­rasah al-Imianiah dapat mengisi peluang perniagaan dan pengurusan jual beli berasaskan Islam.

“Koperasi ini merintis galakan bagi pusat tahfiz di tempat lain supaya dapat menubuhkan serta menambah jumlah penyer­taan koperasi (perniagaan) selari de­ngan transformasi bidang ekonomi berasaskan ajaran al-Quran.

“Sehingga bulan lepas, Angkasa sudah menyelenggarakan penubuhan sebanyak 20 buah koperasi daripada sejumlah 638 buah madrasah dan sekolah tahfiz berdaftar di negara ini,” katanya.

Beliau menyarankan madrasah dan sekolah tahfiz di tempat lain menubuhkan koperasi masing-ma­sing dan Angkasa bersedia membantu dari segi latihan pengurusan, khidmat nasihat kewangan serta aktiviti tertentu dalam kala­ngan penggiat koperasi berkenaan.

Tambahnya, madrasah dan pusat tahfiz di negara ini sewajarnya meneladani pesantren (sekolah agama dan pondok) di Indonesia yang mempunyai koperasi berdaya saing.

“Di samping itu penubuhannya dapat mengumpul dana lumayan yang memberi manfaat untuk pembangunan pendidikan dan kebajikan pelajar di situ,” katanya.