Walaupun tidak meluahkannya, Nur Medina Aisya, 4, sering termenung dan menyebut perkataan ‘abah’ terutama ketika melihat barangan ditinggalkan Allahyarham Mohd. Fatah.

Ibunya, Noor Nadia Kamaludin, 30, memberitahu, dia menyimpan beberapa barangan arwah suaminya seperti topi bomba dan sikat di meja solek di rumahnya.

“Nur Medina Aisya sering termenung di depan cermin meja solek itu dan menyebut perkataan ‘abah’ apabila melihat barangan ini.

“Begitu juga ketika makan piza, dia akan menyebut perkataan ‘abah’ kerana arwah suami saya pernah membawa kami sekeluarga menikmatinya. Saya mengerti Nur Medina Aisya merindui arwah bapanya tetapi dia tidak bertanyakannya,” katanya ketika ditemui selepas menerima cek sebanyak RM10,000 sumbangan kerajaan negeri di sini hari ini.

Cek berkenaan disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sempena Majlis Ramah Mesra Bersama Nelayan Beserah di pekarangan Pusat Pengisytiharan Kampung Beserah Pantai.

Allahyarham Mohd. Fatah berasal dari Kampung Baru Beserah di sini.

Dalam kejadian awal Oktober tahun lalu, Mohd Fattah antara enam anggota bomba yang maut ketika melakukan operasi mencari dan menyelamat seorang remaja lemas di lombong berhampiran Taman Putra Perdana. - UTUSAN ONLINE