Timbalan Pengurus Besar (Bahagian Sumber Manusia) Alam Flora, Sahrani Kasim berkata, transformasi perkhidmatan berfokus itu akan memberi banyak faedah dan kebaikan ke arah alam sekitar indah dan bersih.

Katanya, rekod perkhidmatan Alam Flora setakat ini cemerlang tetapi sempena tahun baharu ini akan dibuat penambahbaikan yang memberi kese­lesaan di premis kediaman taman perumahan dan kawasan perbandaran.

“Alam Flora telah merancang secara terperinci terutamanya berhubung keperluan tenaga kerja, kenderaan dan jentera serta kelengkapan kerja bagi ke­perluan pembersihan dan keceriaan.

“Kerja dilakukan sama ada kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam dipantau agar dapat mengikut jadual yang ditetapkan bagi menepati kehendak KPI,” katanya ketika berucap dalam majlis Transformasi Alam Flora bersama penghuni Taman Perumahan Permatang Syahbandar Jengka di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, Datuk Wan Salman Wan Ismail; Setiausaha Kanan Ahli Parlimen Kuala Krau, Mohamed Razali Mamat; Pengurus Perbadanan Pengurusan Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Maran, Saiful Azeman Aziz dan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Taman Permatang Syahbandar, Abd. Latif Umar.

Sahrani berkata, sasaran pre­mis kediaman dan perniagaan bersih serta indah akan lebih bermakna dengan pembabitan penduduk sendiri yang memberi kerjasama kepada Alam Flora.

“Program bergotong-royong bagi membersihkan kawasan ke­diaman, longkang dan taman permainan bukan sahaja menjamin kebersihan tetapi juga dapat mengeratkan ikatan silaturahim dalam komuniti

“Aktiviti pembersihan adalah untuk memberi keselesaan kepada masyarakat, bukan untuk mengambil alih tugas pihak lain seperti PBT,” katanya.