Pengurus Besar Yayasan Pahang, Datuk Mahmud Mohd. Nawawi berkata, bermula Ogos 2015, program Smart Tahfiz menyediakan dua aliran pelajaran lepasan tahfiz sama ada aliran Huffaz Ilmuan atau Huffaz Kemahiran. 

“Huffaz Ilmuan adalah program fast-track yang mana pelajar menduduki kelas persediaan akademik selama 16 bulan sebelum menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Huffaz Kemahiran pula adalah pelajar yang berminat dalam bidang kemahiran boleh memohon Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) mengikuti kursus terpilih di Kolej Yayasan Pahang Advances Skills (KYP-AS),” katanya selepas merasmikan Akademi Smart Tahfiz Bandar Putra di sini, baru-baru ini.

Yang turut hadir Pengarah Urusan KYP, Datuk Norhishamuddin Yaacob yang juga Timbalan Pe­ngurus Besar Yayasan Pahang dan Pengetua Smart Tahfiz, Abdul Manaf Hassan.

Menurut Mahmud, objektif pro­­gram itu adalah memberi peluang yang lebih jelas dan terjamin kepada pelajar lepasan institusi tahfiz untuk menyambung pengajian dengan memperoleh kelayakan akademik atau kemahiran. 

Kata beliau, pelajar yang me­ngikuti program berkenaan bukan sahaja berpeluang me­nyambung pengajian di peringkat SPM dan SKM, malah ke peringkat diploma, ijazah dan seterusnya.

Selain itu katanya, program Smart Tahfiz menyasarkan kebolehpasaran kerja bagi lepasan institusi tahfiz yang menghafaz al-Quran menceburi bidang profesional.