Kedua-dua pes yang diambil daripada buku ‘Air Tangan Tengku Puan Pahang’ itu akan dihasilkan oleh penghuni wanita di penjara tersebut sebelum dikomersialkan ke seluruh negara.

Tunku Azizah bertitah, program perintis melibatkan pes masakan berkenaan bertujuan memberi pendedahan kepada penghuni penjara mengenai kemahiran kulinari yang membolehkan mereka memulakan hidup baharu selepas keluar dari penjara kelak.

“Saya berterima kasih kepada Penjara Bentong dan Resort World Genting yang menjayakan program ‘Keindahan Di Sebalik Dinding hari ini.

“Selain menjana pendapatan kepada pihak penjara, ia dapat dijadikan bekal kepada penghuni penjara wanita (selepas bebas) untuk memulakan perniagaan,” titah baginda pada program itu di Penjara Bentong di sini hari ini.

Yang hadir sama Pengarah Penjara negeri, Datuk Ab. Basir Mohamad; Naib Presiden Komunikasi dan Perhubungan Awam Resorld World Genting, Khaterine Chew dan Chef Eksekutif Resort World Genting, Alex Vitalise.

Pada majlis itu, Tunku Azizah berkenan mencemar duli menyediakan pelbagai jenis masakan berasaskan pes asam pedas dan rendang sambil dibantu oleh Alex. - UTUSAN ONLINE