Air tangan Tunku Azizah juga menjadi rebutan dan disebut-sebut bagi yang pernah menikmati­nya terutama ketika baginda mencemar duli memasak di pusat pemindahan banjir semasa negeri ini dilanda musibah.

Berikutan itu, cukup istimewa dan pastinya menjadi kenangan terindah buat banduan wanita di Penjara Bentong di sini apabila baginda berbesar hati sanggup berkongsi rahsia mengajar mereka membuat biskut yang akan dijadikan jualan sempena Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Tunku Azizah bukan sahaja berkenan meluangkan masa bersama mereka, malah mencari sendiri bahan-bahan berkualiti tinggi agar biskut yang dihasilkan setanding dengan dimasak baginda di istana.

Tunku Azizah ketika ditemubual secara eksklusif oleh Utusan Malaysia bertitah, baginda tidak pernah berkongsi resipi istana itu yang diwarisi daripada bondanya, Sultanah Zanariah Tunku Ahmad sejak kecil.

“Saya tidak pernah berkongsi resipi biskut-biskut yang memang khas dari istana ini. Mintalah macam mana pun, saya tidak akan beri.

“Namun, berbeza dengan mereka (banduan). Saya ikhlas mahu membantu bagi memudahkan me­reka memperoleh pendapatan daripada hasil jualan biskut air ta­ngan saya. Sedikit pun resipi saya tidak diolah, tidak tipu kerana semuanya sama seperti saya buat di istana,” titah baginda ketika mencemar duli dalam Program Air Tangan Tengku Puan Pahang di Penjara Bentong di sini baru-baru ini.

Tunku Azizah sendiri membe­ri tunjuk ajar dan tip termasuk kedai-kedai yang membekalkan bahan mentah berkualiti kepada 10 banduan wanita terlibat.

Yang turut hadir Pengarah Penjara negeri, Datuk Ab. Basir Mohamad dan Pengarah Penjara Bentong, Aminon Adnan.

Tunku Azizah berkongsi pengalaman bahawa setiap kali berkunjung ke penjara, baginda pastinya diberikan produk hasil kerja banduan se­perti kuih-muih dan kek.

“Sebelum ini saya dimaklumkan mereka menjual biskut raya setiap tahun dengan jualan sehingga RM100,000.

“Dari situ timbul idea agar mereka menjual biskut daripada resipi saya terutama bagi memudahkan orang ramai yang sentiasa mahu membeli biskut yang saya hasilkan setiap kali hari raya,” titah baginda.

Untuk kali pertama, baginda berkongsi enam jenis resipi iaitu biskut cornflakes, biskut kelapa, biskut melting moments, biskut milo, biskut badam dan biskut custard untuk jualan kepada umum.

“Saiz, bentuk dan rasa sememangnya sama kerana ini resipi turun-temurun keluarga saya.

“Anakanda berkali-kali bertanya betul ke saya mahu memberi resipi rahsia ini, namun saya seikhlas hati mahu membuat amal jariah seperti ini dan berharap dapat membantu mereka (banduan) terutama apabila tamat menjalani hukuman kelak,” titah baginda yang berharap ia dimanfaatkan sebaik-baiknya.

Orang ramai yang mahu mendapatkan biskut eksklusif Air Tangan Tengku Puan Pahang boleh menghubungi Pegawai Penjara, Unit Vokasional dan Industri Penjara Bentong, Yusuf Baharom di talian 0199783738 atau 092210111 untuk tempahan.