Lebih menyedihkan, terdapat syarikat GLC terkemuka diterajui oleh orang Islam sendiri seolah-olah tidak mempedulikan kewajipan berkenaan selain syarikat-syarikat korporat yang sebelum ini membayar zakat tetapi tidak lagi berbuat demikian selepas pengurusan tertingginya beralih kepada individu bukan Islam.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Me­layu Pahang (Muip), Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, pihaknya yang bertanggungjawab mengutip zakat di negeri ini memandang serius perkara tersebut.

Beliau berkata, Muip telah menghantar surat peringatan kepada syarikat-syarikat terlibat supaya melaksanakan rukun Islam berkenaan dengan segera.

“Kita juga menghantar surat pemakluman kepada Yang Dipertua Muip, Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Pejabat Perdana Menteri. Kita berharap tiada pihak di negeri ini mengabaikan kewajipan mengeluarkan zakat,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Rawatan Dialisis Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh, di sini semalam.

Menurut Wan Abdul Wahid, bayaran zakat yang diserahkan umat Islam termasuk syarikat korporat amat penting dalam membantu masyarakat Islam yang memerlukan bantuan.

Katanya, meskipun jumlah kutipan zakat tahun lalu hanya sebanyak RM133 juta, Muip telah mengagihkan sebanyak RM134 juta untuk keperluan asnaf dan pelbagai bantuan lain.

“Setakat bulan ini, kita mengutip zakat sebanyak RM52 juta daripada 69,368 pembayar di seluruh negeri dan berharap ia te­rus meningkat,” katanya.