Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, sejak penganjuran edisi sulungnya pada 2008, baginda dapat melihat perkembangan yang positif dalam dunia penyelidikan.

“Saya melihat peningkatan signifikan dalam konteks kualiti pencapaian para akademik dan penyelidik universiti ini dalam lapangan penyelidikan, inovasi, pengkomersialan, penerbitan serta kreativiti.

“Saya turut tertarik untuk mengemukakan beberapa pandangan mengenai hala tuju strategik UMP dalam konteks peranannya sebagai universiti komuniti dan ejen transformasi sosioekonomi melalui slogannya Memasyarakatkan Teknologi,” titah baginda ketika berangkat menyempurnakan ACB 2017 di sini baru-baru ini.

Turut berangkat ialah Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Yang hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Datuk Seri Ibrahim Ahmad; Naib Canselor UMP, Prof. Datuk Seri Dr. Daing Nasir Ibrahim dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyGift UMP, Datuk Mohd. Nizar Najib.

Pada majlis berkenaan, 94 pensyarah dan staf cemerlang menerima anugerah masing-masing.

Majlis berkenaan turut memberi pengiktirafan kepada pensyarah Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik UMP, Dr. Nurul Hazlina Noordin bagi Anugerah Akademik Universiti (AAU) dalam kategori Anugerah Ahli Akademik Harapan.

Sementara itu, Daing Nasir ber­kata, UMP komited meneruskan pengiktirafan kepada ahli-ahli akademiknya yang mencapai kecemerlangan dalam bidang penyelidikan dan penerbitan berimpak tinggi sebagai menghargai usaha mereka.

“Pengiktirafan itu dizahirkan melalui ACB 2017 yang sudah memasuki edisi ke-10 bertemakan UMP 4.0: Redesigning The Future.

“Pemilihan tema berkenaan selari dengan komitmen universiti untuk muncul sebagai sebuah institusi pendidikan yang cemerlang dengan acuannya tersendiri di samping mempunyai pendekatan strategik,” ujarnya.

Tambah beliau, edisi kali ini menunjukkan peningkatan seba­nyak 22 peratus dari segi jumlah pencalonan kerana melibatkan semua kate­gori iaitu 490 berbanding 403 pencalonan pada edisi lalu.