Pengarah Perikanan nege­ri, Azahari Othman berkata, pelepasan benih ikan itu dilakukan bagi memulihara, meningkatkan dan menjamin kelestarian sumber perikanan.

Katanya, usaha itu juga secara tidak langsung dapat meningkatkan sumber pendapatan nelayan setempat.

“Hari ini, kami melepaskan sebanyak 4,000 ekor benih ikan siakap. Kita harapkan program ini dapat meningkatkan stok ikan di perairan sungai dan memberi manfaat kepada nelayan.

“Ini usaha yang kita lakukan bagi memastikan bekalan hasil laut terus mencukupi dan dapat mengelak kebergantungan kepada hasil import,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena program Pelepasan Benih Ikan Ke Perairan Umum dan Penyerahan Bantuan Input Touch Point Perikanan Daerah Kuantan di Pangkalan Perlindu­ngan Sumber, Kompleks Perikanan Padang Lalang di sini, hari ini.

Seramai 137 nelayan dari lima kawasan sekitar Kuantan iaitu Cherating, Chenor, Beserah, Sungai Ular dan Balok menerima bantuan Touch Point perikanan dalam program berkenaan.

Dalam pada itu, Azahari memberitahu, program perlepasan benih ikan seperti itu dapat memberi manfaat kepada nelayan setempat apabila benih-benih ikan berkenaan mencapai tempoh matang mereka.

“Bantuan dalam membekalkan benih ikan seperti ini diperlukan kerana adalah sukar untuk ikan-ikan membiak dengan banyak jika hanya bergantung kepada proses pembiakan secara semula jadi,” katanya.

Selain itu, katanya, pihaknya turut menyalurkan bantuan input Touch Point kepada nelayan bagi memastikan golongan sasar dapat meningkatkan produkti­viti pengeluaran dan pendapatan mereka.

“Kami memberikan bantuan berupa tong insulasi, pukat, beg kalis air, jala dan lampu suluh mengikut jenis nelayan sama ada nelayan laut atau nelayan darat.

“Bantuan Touch Point ini bertujuan memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah dan memastikan sumber pendapatan golongan sasar dapat di­tingkatkan” katanya.