Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, terdapat pelbagai tarikan di negeri Tok Gajah ini untuk dikunjungi pelancong sama ada dari dalam atau luar negara seperti hutan, gunung, pulau dan pantai yang boleh diibaratkan seperti melawat seluruh negara.

“Saya berpandangan logo Tahun Melawat Pahang 2017 ditambah baik dengan memasukkan elemen ‘Truly Malaysia’ pada kempen akan datang.

“Sudah tentu saya mahu mereka tonjolkan Pahang kerana macam-macam ada seperti hutan, gunung, pulau dan pantai. Melawat Pahang ibarat melawat Malaysia,” titah baginda pada Malam Penghargaan Pelancongan Pahang 2017 di sini semalam.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Seri Mirza Mohammad Taiyab dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsuddin.

Tengku Abdullah turut mencadangkan supaya kerajaan negeri menggunakan ahli korporat, selebriti dan golongan artis untuk mempromosikan negeri ini sebagai pusat pelancongan bagi menarik kehadiran lebih ramai pengunjung pada masa akan datang.

“Pada masa sama, mengenal pasti sahabat kita (anak Pahang) di luar negara yang menjalankan perniagaan seperti restoran, kedai baju atau buku untuk menjadikan cawangan mereka bagi mempromosikan pelancongan negeri ini.

“Baru-baru ini, saya berada di Kemboja dan dapat menikmati gulai tempoyak di sebuah restoran milik anak kelahiran Temerloh,” titah baginda.

Sementara itu, baginda mengingatkan penggiat industri pelancongan dan pihak berkaitan agar tidak mengabaikan aspek alam sekitar demi memulihara kha­zanahnya agar terus diwarisi pada masa akan datang.

Titah baginda, tiada kompromi untuk mana-mana pihak yang didapati mengabaikan aspek alam sekitar termasuk mereka yang menggunakan alasan memba­ngunkan industri pelancongan di kawasan masing-masing.

“Dalam kita membangunkan (industri) pelancongan tidak boleh kompromi soal alam sekitar, kena jaga flora dan fauna seperti di kawasan Bukit Fraser, Cameron Highlands, Bukit Tinggi serta Taman Negara,” titah ba­ginda.

Tengku Abdullah bertitah, pihak yang bertanggungjawab juga tidak seharusnya membenarkan pembinaan kilang atau gedung berhampiran pantai agar ekosistem di kawasan itu tidak terjejas.