Tindakan pemotongan bekalan air yang dikatakan dibuat tanpa notis itu menyebabkan penduduk terpaksa membeli air mineral untuk kegunaan minuman selain ada yang menumpang di rumah rakan-rakan berhampiran untuk membersihkan diri.

Lebih menyedihkan apabila warga emas dan keluarga mempunyai anak kecil yang tinggal di tingkat enam terpaksa turun dan naik tangga ekoran pangsapuri berkenaan tidak mempunyai lif untuk mendapatkan air.

Pengerusi Persatuan Pendu­duk Selesa Hillhomes, Rozzana Abdullah berkata, tindakan drastik tanpa sebarang notis ber­kenaan amat membebankan pendu­duk.

Berikutan itu, katanya, pihaknya membuat laporan polis pada Jumaat lalu kerana berasa teraniaya dengan tindakan berkenaan.

“Saya berasa pelik mengapa tiba-tiba meter dikunci sedang­kan bayaran bil air dilakukan penduduk kepada pihak berke­naan.

“Apakah tindakan ini betul dan mengikut undang-undang? Bagaimana dengan keluarga yang mempunyai bayi dan warga emas terutama di tingkat enam yang tidak mempu­nyai lif,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Rozzana, usaha penduduk menghubungi Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) dimaklumkan bahawa penutupan berkenaan atas arahan pemilik akaun yang mengu­ruskan bekalan air ke situ.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Syefura Othman berkata, berdasarkan maklumat daripada Paip, pihak berkenaan melakukan pemotongan bekalan air atas arahan pemilik akaun yang menguruskan pangsapuri tersebut.

Katanya, berdasarkan maklumat awal, ia tidak membabitkan kegagalan penduduk menjelaskan bil air tetapi disebabkan pertelingkahan antara persatuan penduduk dengan pengurusan pangsapuri itu.

“Saya mengambil maklum perkara ini dan akan mengadakan sesi pertemuan antara penduduk dan pihak pengurusan bagi menyelesaikan pelbagai masalah berbangkit yang berlaku sejak sekian lama,” ujarnya.