Pengerusi Jawatan Kuasa Perumahan dan Perbandaran negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek berkenaan yang bernilai antara RM10,000 hingga RM150,000 dilaksanakan di 10 kampung tradisional di persisiran Sungai Jelai, Felda Sungai Koyan dan enam pos penempatan Orang Asli Hulu Jelai.

Beliau berkata, projek itu ada yang sudah disiapkan dan masih terdapat dalam penyelenggaraan kontraktor seperti menaik taraf jalan kampung, dewan serbaguna, balai raya, surau, wakaf, padang permai­nan serta gelanggang sepak takraw.

“Projek ini turut melibatkan menaik taraf kemudahan asas sekolah rendah dan menengah serta Klinik Kesihatan Sungai Koyan yang membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap pembangunan modal insan dan peningkatan taraf kesihatan penduduk,” kata­nya selepas merasmikan Seminar Kepimpinan Keibubapaan Parlimen Cameron Highlands di Felda Sungai Koyan, di sini semalam.

Sempena program itu, beliau menyampaikan bantuan kerajaan negeri kepada warga emas, orang kurang upaya, Orang Asli, pengurusan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai.

Menurut Wan Rosdy, projek menaik taraf beberapa kemudahan yang rosak dan dibina baharu selepas musibah banjir juga dilaksanakan di kampung tradisional berdekatan Sungai Jelai, iaitu Kampung Kuala Serau, Kuala Medang, Bertang, Tanjung Gahai, Keledek, Bukit Betong, Bukit Bota, Beletik, Lubuk Kulit dan Ranca­ngan Tanah Pinggir Sungai Ular.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Cameron Highlands berkata, projek kemudahan asas berkenaan merupakan antara mekanisme transformasi pembangunan kerajaan menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) untuk mewujudkan masyarakat sejahtera.

“Projek kemudahan asas merupakan manifestasi kerajaan Barisan Nasional (BN) negeri untuk mengubah landskap luar bandar sebagai pusat pertumbuhan baharu menerusi peluang penduduk dalam bidang pendidikan, pertanian, industri kecil dan pelancongan di kawasan Jelai,” katanya.