Program di bawah kelolaan Panitia Pendidikan Islam sekolah itu bertujuan memantapkan iman dalam kalangan saudara baharu murid Orang Asli menerusi pengupayaan amalan berasaskan Islam.

Guru penyelaras program, Mohd. Zamani Ehsan Awang, 32, berkata, penganjuran pertan­dingan itu dapat memberi pengetahuan dan menguatkan amalan serta iman murid Islam masyarakat Orang Asli daripada etnik Semai sekolah tersebut.

“Pertandingan ini untuk mendidik murid-murid ini menghafaz surah dalam al-Quran termasuk kemahiran melaungkan azan selari dengan matlamat kurikulum Pendidikan Islam di peringkat sekolah kebangsaan.

“Sebelum pertandingan, mereka dibimbing oleh guru Pendidikan Islam setiap hari selepas solat Asar dan Maghrib antara pengisian ibadah bagi murid yang tinggal di asrama desa sekolah ini,” katanya di sini baru-baru ini.

Yang hadir sama Jurulatih Pakar Pembangunan Sekolah (SISC) Pejabat Pendidikan Lipis, Rosimawati Saad.

Sementara itu, Guru Besar SK Senderut, Abd. Manaf Mat berkata, program berkenaan diadakan sepanjang tahun bagi membolehkan murid Orang Asli beragama Islam di situ mengasah kemahiran membaca dan menghayati al-Quran.

“Guru Pendidikan Islam dan mata pelajaran lain terus komited dengan tanggungjawab membantu memantapkan penge­tahuan murid di sini menguasai bacaan al-Quran, berpuasa pada bulan Ramadan dan amalan tertentu dalam Islam sebagai menjana keperibadian insan yang mulia,” ujarnya.

Tambahnya, sehingga kini, seramai 42 orang daripada 510 murid Orang Asli sekolah itu menerima hidayah selepas keluarga masing-masing memeluk Islam sejak beberapa tahun lepas.

Sementara itu, seorang murid Orang Asli beragama Islam, Nori­da Manzurizal, 10, berkata, dia bersyukur dan seronok kerana dipilih menyertai pertandingan hafazan ayat suci al-Quran.

“Pertandingan ini dapat menajamkan ingatan saya dan membantu menyuburkan amalan Islam,” katanya.